Tuesday, 14 August 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin



Assalamualaikum..Kami, warga SMK Pulau Serai ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin Kepada Seluruh Umat Islam yang bakal menjelang tiba. Semoga kita semua dapat memanfaatkan penghujung ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Tak lupa juga kepada semua pelajar dan guru yang akan mula bercuti penggal persekolahan bermula esok 16/8/2012 sehingga 25/8/2012. Selamat bercuti!

Saturday, 11 August 2012

Madrasah Ramadhan


Ramadhan datang lagi. Bulan yang mulia ini hanya datang setahun sekali.  Setiap individu muslim mukmin menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh ghairah dan teruja. Pada bulan ini Allah menawarkan  dengan limpah keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa yang berpuasa dengan sempurna.  Maka untuk menyambut bulan ini pelbagai program telah diatur setiap tahun seperti melantik Imam Hafiz untuk membimbing solah terawih, mengadakan tadarus Quran berkelompok, berbuka puasa beramai-ramai, ceramah fadhilat ramadhan, qiamulai dan sebagainya. Malah terdapat Masjid mengaturkan  solat tarawih yang dipimpin oleh Imam yang didatangkan khas dari Timur Tengah. Dengan segala macam program ini menarik minat para jamaah untuk memenuhi ruang masjid dan surau. Ahli jamaah yang jarang-jarang datang ke masjid dan surau pun hadir menunjukkan komitmen sepanjang sebulan Ramadhan. Mungkin itu yang dikatakan tarikan bulan yang penuh keberkatan dan melembutkan hati kepada sesiapa sahaja yang ihklas untuk mencari kebajikan dan pahala.

Dengan aturcara yang padat ini, kita boleh namakan sebagai madrasah terbuka kepada sesiapa yang bersedia untuk mengambil peluang keemasan tersebut. Sebenarnya segala macam program yang diatur ialah sebagai pelengkap untuk mengisi keberkatan dan kemeriahan  Ramadhan. Tetapi secara khususnya  ialah difardukan berpuasa  bagi sesiapa mencukupi syarat seperti umur baligh dan sebagainya. Perkara utama yang dituntut kepada orang berpuasa hendaklah meninggalkan makan minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.  Ini bermakna diharamkan kepada kita makan minum di siang hari walaupun ianya makanan dan minuman halal. 

Puasa Sebagai  Amalan Kesihatan

Berpuasa memerlukan seseorang yang sangat tinggi disiplin diri untuk menyempurnakan  kewajipan puasa yang mempunyai hikmah tersurat dan tesirat. Secara umumnya, kesan positif puasa seringkali menjadi tumpuan kajian. Para doktor perubatan menjadikanya sebagai amalan  kesihatan atau sebagai jalan penyelesaian bagi penyakit-penyakit moden yang sukar di atasi oleh rawatan-rawatan canggih hari ini tanpa memberi kesan sampingan. Di kalangan pengamal perubatan moden menganggapnya sebagai penemuan terapi baru. Keajaiban puasa ini memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan supaya rakan pesakitnya agar berpuasa sepanjang 48 jam. Hal ini dijelaskan oleh Henry G. Bieler dalam bukunya Food Is Your Best Medicine. Namun demikian, sungguhpun hebat fungsi puasa, Islam tidak memberatkan kita seperti cadangan melampau itu.

Dalam Islam, puasa Ramadhan setiap tahun melatih penganutnya supaya kesihatan sentiasa terkawal.  Perkara ini pernah dibahaskan dalam kongres antarabangsa di Casablanca Morocco pada 1996  bertemakan Kesihatan dan Ramadhan. Penemuan kongres ini bersepakat merumuskan bahawa puasa adalah satu makanisma penuh berpotensi mencegah dan menyembuh bermacam penyakit yang dihidapi manusia.

Hasil dari kutipan  kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli perubatan dan sains makanan, di bawah ini kita boleh senarai pendekkan beberapa kesan yang dianggap sungguh dramatik di kalangan ahli-ahli sains, antaranya seperti berikut:
i. Mendatangkan kecergasan fizkal dan mental seseorang dengan memberi kesegaran pada otot-otot menyebabkan rasa lebih segar dan bertenaga.
ii. Membantu menurunkan kadar racun dan kotoran dalam badan dengan membatasi kalori masuk sehingga menghasilkan  enzim antioksida  berfungsi membersihkan zat-zat bersifat racun dalam badan .
iii.Memberi keseimbangan dalam darah dan menurunkan tekanan darah tinggi.
iv.Memulihkan hormon,  meremajakan sel-sel tubuh dan menambahkan sel darah putih untuk meningkatkan kekebalan tubuh dari penyakit.
v. Menyelesaikan masaalah berat badan  disebabkan lemak berlebihan.
vi.Mengatur kadar gula dalam darah untuk mengelakkan penyakit kencing manis.  
vii.Menyehat dan merehatkan sistem pencernaan kerana berkerja sepanjang tahun tanpa berhenti.  

Cabaran Berpuasa

Sebenarnya  Imam Al-Ghazali  lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya, Ihya` Ulummiddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah nafsu perut. Selanjutnya secara analisis beliau menyatakan pengambilan berlebihan akan menghilangkan kecergasan  serta akan hilang kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya mengundang sikap malas dan melesukan fizikal.  Perspektif al-Ghazali menjawab salah tanggapan umum dengan mengambil makanan yang banyak ketika lapar akan menambahkan tenaga terutamanya ketika berbuka pausa. Hal yang sama diingatkan oleh al-Quran supaya pengambilan makanan dan minuman hendaklah tidak melampau (al-A’raf:31). Secara amalinya Rasulullah s.a.w. memberi panduan umum ketika menjamu selera iaitu, satu pertiga diisi dengan makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk penafasan. Tetapi di bawah tekanan rasa lapar, ramai orang gagal mengatasinya kerana dorongan ingin balas dendam disebabkan berlapar sepanjang  hari. Lebih-lebih lagi pasar Ramadhan menawarkan beranika juadah makanan tradisi dan moden kadang-kala membuatkan hilang pertimbangan ketika membelinya kerana perut kosong dan dahaga berpuasa. Begitu juga hotel dan restoran berlumba-lumba mempromosikan Bufet Ramadhan untuk berbuka. Ketika berbuka kita disunatkan memakan buah kurma agar memulih kehilangan tenaga melalui gula tulin dan serat  buah. Di kala ini juga,  kita hendaklah pastikan juadahnya adalah halal serta selamat, dan tiada pengambilan yang makroh seperti merokok. Malah, kebanyakan ulamak mefatwakan merokok adalah haram.  Kesilapan atau kealpaan kita mengambil makanan atau minuman yang tidak menepati syariah akan merosakkan ibadah puasa sepanjang hari.   

Selain itu, Ramadhan turut menekankan ketepatan pengurusan masa termasuklah metakhir waktu sahur dan berbuka di awal waktu. Manakala pada malam hari disunatkan menunaikan sembahyang solat tarawih berjamaah dan membanyakkan membaca al-Quran. Sebenarnya kesemua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredhaan Allah dan pahala yang berlipat ganda. Mencari limpahan rahmat Lailatulqadar kemuncak cabaran kerana ia berada di penghujung Ramadhan disebabkan sudah “keletihan” dan masing-masing sibuk dengan pelbagai persediaan menyambut hari raya.  Puasa Ramadhan hendaklah disempurnakan dengan bayaran fitrah. Budaya berlebihan menyambut hari raya berbanding pengisian Ramadhan harus diperbetulkan. Orang yang menikmati kemeriahan syawal hanyalah bagi sesiapa yang berjaya menghidupkan sepenuhnya Ramadhan dengan merebut segala tawaran dari Allah s.w.t. Bukannya meraikan syawal sehingga terpinggir Ramadhan disebabkan segala macam tawaran istimewa dari gedung-gedung perniagaan ! Fenomena ini seringkali berlaku pada minggu terakhir Ramadhan apabila surau dan masjid mula kehilangan jamaah. Sebaliknya jika dilihat Negara-negara Arab sepuluh malam terakhir merupakan malam kemuncak para jamaah mengimarahkan masjid. Masjidilharam Mekah dan Masjid Nabawi menyaksikan himpunan manusia yang melimpah ruah kerana mengejar fadilat malam al-qadr, tawaran yang datang terus dari Allah s.w.t.   

Faedah Kepada  Rohani dan Jasmani 

Kesan-kesan latihan puasa tidaklah hanya terfokus kepada faedah fisiologi untuk kesihatan fizikal sahaja, malah merangkumi pengukuhan rohani dan intelektual manusia berlandaskan ibadah. Natijah akan terarah kepada pembentukan keperibadian dan pembinaan watak insan sejati, antaranya ialah:

i. Menambahkan ketakwaan dan mendekati diri kepada Allah.
ii. Membersihkan rohani dengan menanamkan sikap sabar, kasih sayang, pemurah, 
   berkata benar, ikhlas, berdisplin dan  terhindar sifat tamak dan rakus.
iii. Menjinak dan melembutkan hati dengan sifat mudah rasa bersyukur.
iv. Benteng hawa nafsu liar (ammarah) yang meronta kearah kejahatan.
v. Mengawal penyakit rendah moral seperti suka marah, umpat, adu domba, hasad dengki, gelojoh, sukakan kemewahan berlebihan dan pembaziran.
vi. Insaf dan menghayati keperitan golongan fakir miskin yang mendorong untuk membantu dan membela mereka.
vii. Membina peribadi bersifat tahan lasak, tinggi motivasi dan bersedia untuk diuji.
viii. Meningkatkan kecerdasan akal dan kriativiti serta inovasi. 
ix. Sensitif dengan masa dan menguruskannya dengan cekap. 
x. Menambahkan kecekalan dan membina jati diri.

Natijah inilah  juga yang cuba diperhalusi oleh Imam Ghazali di dalam Ihya’ dan disusun semula oleh Said Hawa, di mana beliau menjadikannya sebagai tajuk dalam kitabnya, Tazkiyyah al-Anfus. Isu-isu yang disentuh oleh mereka nampak sekadar berkaitan langsung dengan golongan pengamal tariqat saufi atau pengamal kerohanian sahaja, dan tidak ada kaitan dengan orang awam. Sebenarnya yang cuba dibahas oleh Ghazali dan Hawa adalah penyakit psikologi dan tradisi manusia terakam yang kukuh di dalam ungkapan Melayu. Dalam kitab-kitab mereka menamakan sifat-sifat mazmumah atau tercela jiwa manusia. Antara kalimah-kalimah tersebut yang seringkali digunakan ialah angkuh, keras kepala, sombong, bodoh sombong, kepala batu, keras hati, mengampu, gila pangkat, gila kuasa, dengki, dendam  dan sebagainya adalah antara penyakit lazim yang seringkali berasang di jiwa individu. Tanda-tanda penyakit tersembunyi ini cuba dibedah dan digeledah dari jiwa manusia oleh dua orang tokoh ulamak ini. Sememangnya kuasa, pangkat, pengaruh dan harta ditagih oleh semua manusia. Cuma sejauh mana seseorang itu mampu menunaikan amanahnya atau ia menjadi hamba kepada apa dikejarnya. Untuk merangkul kesemua anugerah Allah di bulan istimewa, kita seringkali diingatkan supaya menganggap Ramadhan yang disambut sebagai Ramadhan terakhir di dalam hidup seseorang. Dalam pada itu, Ramadhan kali ini  juga dianggap Ramadhan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13. Ada yang menjangkakan kali ini Ramadhan yang paling sengit dan sudah pasti masjid akan medan politik melalui slot tazkirah semasa tarawih. Dalam Islam sememangnya ada politik, tetapi tidak seharus segala-galanya dipolitikkan. Masjid sepatutnya menjadi zon bebas dan berkecuali mengatasi sempadan politik dan idologi. Tazkirah yang perlu disampaikan semestinya untuk membina jiwa, minda dan pemikiran yang murni berteraskan kebenaran betepatan semangat Ramadhan yang membina keinsafan dan mencari keampunan, dan mempertautkan hati-hati insan.     

Amalan berpuasa terutamanya di bulan Ramadhan adalah latihan amali yang paling mujarab untuk mengikis penyakit rohani, krisis mental dan pada masa yang sama membantu memulih penyakit fizikal manusia. Sebahagian penyakit-penyakit moden hari ini kesan dari kegagalan mengawal krisis mental dan tekanan jiwa. Akibatnya, fizikal manusia juga turut menjadi mangsa. Dengan hikmahnya yang banyak ini, maka tidak hairanlah Kementerian Kesihatan Malaysia mula berjaya menggalakkan ramai perokok tegar berhenti merokok bermula di bulan puasa. Kempen ini mampu diperluaskan kepada penagih-penagih dadah tegar melalui puasa Ramadhan dan dilanjutkan dengan puasa-puasa sunat menurut kelender Islam. Demi menyelamatkan puluhan ribu penagih dadah di negara kita, pusat-pusat tahanan boleh memasukkan peranan puasa dalam modul utama mereka supaya mereka mempunyai kekuatan jati diri membenci dadah. Dengan kesan yang sangat positif dari keberkatan Ramadhan, puasa sunat akan menjadi modul tetap mingguan bagi individu terkesan dengan madrasah Ramadhan. Ramadhan seterusnya  sentiasa dinanti-nanti serta dirindui. Bagi yang tidak merasai kemanisannya, ia hanya akan berakhir dengan hari raya dan bersuka ria.  Wallahu’alam.

                                                                                  Sumber : JAKIM